Advertisement

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965


Apa maksud Akta 355?
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 adalah suatu Akta untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan di bawah hukum Syarak. Akta ini bertujuan untuk memberi dan menyeragam bidang kuasa berkaitan hukuman kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri dalam hal berkaitan undang-undang Islam

Kandungan Akta 355
Akta ini hanya mengandungi 3 seksyen.

Seksyen 1 menyatakan tajuk ringkas Akta ini dan menyatakan bahawa pemakaian Akta ini adalah terpakai di seluruh Malaysia.

Seksyen 2 menyatakan seperti berikut:
“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

Seksyen 3 menyatakan seperti berikut:
"Segala kesalahan di bawah hukum Syarak yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini berhubungan dengan Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dan yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan) 1989 berhubungan dengan Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak telah dibicarakan oleh mana-mana Mahkamah yang disebut terdahulu hendaklah disifatkan telah dibicarakan dengan sah seolah-olah bidang kuasa yang berkenaan dengannya telah diberi kepada Mahkamah-Mahkamah tersebut oleh undang-undang Persekutuan."

Catat Ulasan

0 Ulasan